Memasak di New Zealand (part 2)

              Jikalau post lepas bercerita tentang persediaan yang dibuat dari Malaysia, kali ini saya ingin bercerita tentang pengalaman membeli barangan dan memasak di sana pula. Kebiasaannya barang-barang mentah kami akan beli dari mana-mana hypermarket yang berdekatan dengan tempat kediaman. Rangkaian supermarket yang kerap kami jumpa di New Zealand ialah Countdown, Pakn'Save dan juga New World. Supermarket ni masing-masing mempunyai kawasan parkir kereta yang tersendiri, dan kebiasaannya mula dibuka seawal 7 pagi dan beroperasi sehingga 9 atau 10 malam, bergantung kepada kawasan.

Pasaraya Countdown di kawasan Rotorua.
         Walaupun pasaraya tidak ada jauh bezanya dengan pasaraya yang ada di Malaysia, tetapi saya sangat gemar melihat sendiri produk2 yang ada di pasaran mereka. Ini juga merupakan salah satu cara untuk kita betul-betul mengenali budaya dan cara hidup sesebuah masyarakat, dengan melihat sendiri produk2 makanan dan barangan harian mereka yang berbeza dengan barangan yang ada di pasaran Malaysia.


         Melalui pembacaan, ramai yang berkongsi bahawa ayam jenama Brinks adalah halal, tetapi malangnya stok sudah habis ketika kami berkunjung ke sini. Jadi sebagai alternatif, kami membeli telur (1 papan 30 biji sekitar $8), ikan, udang, sotong dan sedikit sayur-sayuran sebagai lauk. Kami juga membeli mihun (ada bawa perencah mihun goreng) dan frozen veggies untuk dimasak bersama nasi goreng atau dimakan seperti coleslaw.

       Untuk sotong, kami hanya membeli squid ring without crumb untuk dicampurkan bersama nasi goreng, tomyam ataupun sambal tumis. Harga saya tidak berapa ingat (mungkin sekitar $9-10) utk 1 pek 1kg, cukup untuk hidangan kami sepanjang seminggu tinggal di New Zealand.

      Udang juga kami beli 1 pek dlm lingkungan $4 (bekas plastik yang telah siap dibungkus dan ditimbang) untuk dicampurkan ke dalam masakan. Tidak cukup untuk seminggu, kami menambah bekalan udang dengan membeli pek 500g (harga sekitar $6-7).

     Jikalau ada kehabisan bekalan beras, jangan risau kerana beras jasmine dan beras basmathi ada sahaja dijual di sini. Kami membeli 1kg beras jasmine sebagai tambahan bekalan kami dengan harga $1.5 sahaja, jadi tidak perlu susah hati untuk membawa beras terlalu banyak yang akan memberatkan beg. 


            Sayur-sayuran dan bawang boleh tahan mahal, jadi kami hanya membeli sedikit celery, carrot dan separuh kubis bunga untuk dibuat lauk. Akhir sekali kami membeli ikan untuk dimasak asam pedas ataupun sekadar goreng begitu sahaja. Terdapat juga fish fillet with crumb untuk fish and chips, sekitar $5 untuk 3 keping fillet, bolehla juga kerana tekak malaysia teringin makan benda yang bergoreng. Sebagai, kami turut membeli French fries dan potato wedges (sekitar $4 untuk beg 1kg) untuk kanak-kanak dan juga makanan tambahan atau bekal.
     
            Rasanya dari segi susun atur dan hiasan dalaman, supermarket di sini tidaklah jauh berbeza dengan pasaraya-pasaraya yang ada di Malaysia, tetapi kebanyakannya mempunyai satu bahagian Self-checkout counter di mana para pelanggan boleh memproses sendiri bayaran bagi barangan yang dibeli tanpa perlu beratur untuk bayar di kaunter cashier. Setakat ini di Malaysia saya hanya pernah melihat kaunter Self-Checkout ini di Ikea sahaja yang ketika ini dalam proses percubaan.

Contoh mesin self-checkout. di Countdown

        Prosesnya sangat mudah. Hanya scan barangan yang dibeli, kemudian ikut langkah-langkah yang diberi untuk membuat bayaran menggunakan kad kredit. Pastikan anda memasukkan barangan yang dibeli ke dalam beg plastik yang disediakan di sebelah mesin, kerana ia mempunyai sensor yang akan menimbang berat barangan yang dibeli. Usah risau, bukanlah timbang secara serius, sekadar untuk memastikan barangan yang discan sepadan dengan barangan yang dimasukkan ke dalam beg plastik.

         Disebabkan kami hanya sempat membeli belah di Countdown dan New World, jadi kami tidak boleh membuat perbandingan antara ketiga-tiga rangkaian supermarket ini. Dari segi harga, pada pendapat saya boleh katakan yang Countdown dan New World lebih kurang sahaja. Tetapi saya mendapati Countdown lebih kerap mengadakan promosi potongan harga untuk barangan makanan seperti udang dan fish fillet tadi berbanding dengan New World. Saya ada terbaca pendapat yang mengatakan Pakn'Save adalah yang paling murah antara ketiga-tiga rangkaian ini. Terpulanglah pada masing-masing untuk membuat pilihan. Selamat membeli-belah!

Comments

Popular Posts